Wednesday 28 November 2012

Perbezaan Pemerolehan bahasa pertama dengan pemerolehan bahasa kedua


  1. Perbezaan dari Segi Prinsip
1.    Penguasaan Kemahiran Bahasa
Dalam pemerolehan bahasa pertama, penguasaan sesuatu kemahiran bahasa berlaku secara beransur-ansur. Proses bermula dengan pengeluaran bunyi-bunyi, diikuti mencantumkan unit-unit bunyi menjadi perkataan dan mencantumkan perkataan-perkataan menjadi ungkapan atau ayat. Seterusnya, kanak-kanak akan memerhati dan menangkap sebarang kemahiran bahasa ibunda daripada penutur lain.  Langkah ini akan menjadikan mereka semakin mahir dengan sendirinya. Kefahaman boleh wujud lebih awal daripada pengucapan.
Manakala pembelajaran bahasa kedua adalah merupakan satu proses mekanis yang membentuk lakuan baru, iaitu lakuan kemahiran bahasa. Latihan-latihan peneguhan diberikan untuk membentuk tabiat bahasa yang dipelajari.

2.    Penguasaan Aspek Bahasa
Dalam pemerolehan bahasa pertama setiap kemahiran bahasa dikuasai dengan cara yang perlahan. Cara ini membolehkan beberapa aspek bahasa dapat dikuasai secara sekali gus. Sebagaimana diketahui, bahasa mempunyai banyak rumus dan peraturan. semuanya itu dikuasai secara serentak. Kanak-kanak umpamanya dapat menguasai bunyi, perkataan, pengimbuhan, makna, dan penggunaannya dalam ayat secara sekali gus.
Hal ini berbeza dengan pengajaran bahasa kedua yang mesti didahulukan dengan kemahiran lisan. Aktiviti pengajaran bermula daripada kemahiran mendengar, kemudian bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Kanak-kanak diajar menyebut sesuatu kata itu dahulu sebelum mengajar bentuk-bentuk tulisan. Cara ini akan menghasilkan satu pengajaran bahasa kedua yang berkesan.



  1. Mempelajari Penggunaan Bahasa
Dalam pemerolehan bahasa pertama, prinsip ini menerangkan bahawa kanak-kanak tidak mengkaji tatabahasa untuk menguasai bahasa tersebut. Mereka belajar menggunakannya. Mereka tidak perlu menjelaskan sebab binaan ayat itu adalah betul atau salah, tetapi mereka diberi tahu betul dan salah ayat itu. Dalam aspek tatabahasa misalnya, kanak-kanak tidak diminta mengkaji rumus-rumusnya tetapi cukup sekadar menggunakannya dalam ayat-ayat yang betul.
Sebaliknya, dalam pembelajaran bahasa kedua, pelajar belajar secara membuat analogi. Pembelajaran cara ini membolehkan pelajar menerima pelajaran dengan cara melihat persamaan dan perkaitan antara bentuk-bentuk yang diajar. Mereka diberi latih tubi dalam pola-pola yang diajar. Analogi digunakan untuk menghasilkan penguasaan struktur bahasa tanpa menghabiskan masa dan tenaga untuk menjelaskan konsep-konsep tatabahasa. Mereka diberitahu sebab binaan bahasa yang digunakan itu adalah salah atau betul.
  
  1. Penggunaan Bahasa
Dalam pemerolehan bahasa pertama juga, kanak-kanak belajar menggunakan bahasa melalui pemerhatian atau pendengaran. Setelah itu, mereka menggunakan unsur yang sama dalam keadaan yang serupa bagi memberikan maknanya. Walaupun tidak memahami sistem tatabahasa, tetapi mereka amat mengetahui hubungan antara perkataan dalam ayat dan hubungan antara satu ayat dengan ayat lain. Mereka menggunakan sesuatu perkataan dalam konteks makna, bukannya dalam konteks tatabahasa. Semasa mengajar, guru perlulah mencari konteks makna bagi menjelaskan makna perkataan itu. Pelajar diberi latihan dan latih tubi pemakaian makna dan perkataan yang betul.
       Namun begitu, dalam pembelajaran bahasa kedua, makna haruslah dipelajari dalam konteks yang dapat menerangkan makna itu sendiri. Makna perkataan perlulah diajar dalam konteks agama, adat dan adab, dan budaya. Ini adalah cara yang difikirkan berkesan dalam memberikan makna


  1. Kebiasaan Mempelajari Bahasa
Dalam pemerolehan bahasa pertama, kanak-kanak mempelajari pertuturan menurut kebiasaan tertentu. Kebiasaan ini mungkin kebiasaan seseorang individu atau kelompok penutur. Mereka mempunyai kumpulan sendiri dan mempunyai tabiat  bertutur yang tersendiri. Kanak-kanak tidak perlu dihalang mengembangkan kebolehan mereka berbahasa secara tersendiri.
Hal ini berbeza dengan pembelajaran bahasa kedua. Pembelajaran berlaku secara formal dan mempunyai guru. Peluang pembelajaran hanya dapat diikuti di tertentu sahaja.
Perbezaan pemerolehan bahasa pertama daripada bahasa kedua juga boleh dilihat dari sudut strategi.

B) Strategi
                       
1.       Penguasaan
Cara memperolehi bahasa pertama tidak sama dengan cara menguasai bahasa kedua. Pemerolehan bahasa pertama melalui proses tidak formal. Sebaliknya, pembelajaran bahasa kedua memerlukan usaha gigih dan perancangan teliti. Manusia tidak perlu berguru dalam institusi formal untuk membolehkan mereka bertutur dengan baik dalam bahasa ibunda. Sebaliknya, seseorang perlu berguru secara formal untuk mempelajari bahasa kedua, walaupun tidak menjamin orang berkenaan bertutur dengan fasih dan lancar dalam bahasa tersebut.
            Proses-proses yang menghasilkan kemahiran berbahasa dalam bahasa pertama dan bahasa kedua adalah berbeza. Hal ini dapat dilihat dari istilah yang digunakan. Bagi bahasa pertama, istilah ‘penguasaan’ atau ‘pemerolehan’ digunakan, manakala bagi bahasa kedua, istilah ‘pemelajaran’ digunakan. Dalam hal ini, Kamarudin (1988) menyatakan :

“Berbeza dengan pemelajaran bahasa pertama, penguasaan bahasa kedua bukanlah didapati melalui pemerolehan tetapi dikuasai melalui pemelajaran. Ini dilakukan dalam keadaan yang lebih formal, memerlukan banyak latihan dan pengulangan hingga menjadi sesuatu tabiat.”
2.            Fungsi

Dari segi fungsi, tujuan seseorang itu menguasai pengetahuan bahasa pertama dan mempelajari bahasa kedua ternyata berbeza. Berlainan dengan proses pemerolehan bahasa pertama, pembelajaran bahasa kedua merupakan usaha yang ditentukan oleh manfaat yang bakal diperoleh.
Tujuan mempelajari bahasa kedua biasanya dikaitkan dengan peranan bahasa dalam kehidupan seseorang pengguna. Oleh itu, pengajaran bahasa kedua sering mengarah kepada sesuatu tujuan yang tertentu.

3.            Kebebasan Memilih
Dalam konteks ini, proses pemerolehan bahasa pertama merupakan satu proses yang tidak ada pilihan. Manakala proses penguasaan bahasa kedua pula adalah proses yang ada pilihan. Proses penguasaan bahasa kedua didorong oleh sebab-sebab tertentu. Biasanya kanak-kanak bahasa pertama mendapat dorongan dan motivasi yang kuat untuk mempelajari bahasa itu bersungguh-sungguh. Ini kerana mereka mempunyai keperluan untuk menggunakan bahasa itu. Keadaan ini berbeza dengan pembelajaran bahasa kedua kerana keinginan untuk mempelajari bahasa ini tidak kuat walaupun mereka sedar bahasa kedua itu berguna.
Dalam hal ini, corak perasaan dan bentuk pemikiran akan menentukan sama ada seseorang itu akan berusaha gigih atau tidak mempelajari bahasa kedua. Bagi bahasa pertama pula, penguasaan pengetahuannya berlaku secara semulajadi, dan tidak ada kanak-kanak normal yang terkecuali daripada menguasai pengetahuan bahasa pertama.

4.            Kejayaan Penguasaan
Penguasaan pengetahuan bahasa oleh penutur bahasa pertama dan bahasa kedua adalah berbeza. Dalam bahasa pertama, kanak-kanak, secara genetik, telah diprogramkan untuk berjaya dalam proses penguasaan bahasa pertama. Proses tersebut merupakan proses menyesuaikan pengetahuan bahasa semula jadi yang sedia ada dengan sistem bahasa pertama mereka.
Sementara pembelajaran bahasa kedua pula, faktor genetik tidak memainkan peranan penting. Faktor-faktor luaran yang menentukan kejayaan proses  pembelajaran bahasa kedua berkenaan. Berkenaan hal ini, Abdullah Hassan (1987) menegaskan :

“…pemerolehan bahasa ibu tidak berlaku di kalangan kanak-kanak secara tidak formal, yakni tidak perlu diajar. Bahasa kedua pula terpaksa dipelajari dan hanya berkembang melalui latihan dan pengukuhan. Bukan itu sahaja yang berlaku, kita mesti mempunyai dorongan dan sikap yang sihat untuk dapat belajar dengan berkesan.”
5.    Masa
Dari segi masa, kanak-kanak mempelajari bahasa kedua sering mengalami kesulitan. Mereka tidak mempunyai masa yang cukup dan tidak pula dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap bahasa yang dipelajari itu. Bahasa yang dipelajari tidak dapat dipraktikkan sepenuhnya, sebagaimana mereka menggunakan bahasa ibunda sehari-hari. Mereka hanya dapat mempelajari dan menggunakan bahasa kedua di dalam kelas-kelas sahaja.


RUJUKAN
http://retibasa.blogspot.com/2010/08/cara-pemerolehan-bahasa-kedua_11.html
 http://www.geocities.com/pendidikmy/cikgupjj/bahasapertamabahasakedua.html
http://massofa.wordpress.com/2008/01/28/pemerolehan-bahasa-pertama-dan-bahasa-kedua/


No comments:

Post a Comment