Pages

Friday 30 November 2012

Peringkat Pemerolehan Bahasa Pertama

Peringkat-Peringkat Pemerolehan Bahasa Kanak-Kanak
Pemerolehan bahasa telah bermula semenjak bayi lagi melalui perlakuan dan kecekapan pancaindera pendengaran dan pertuturan. Proses perlakuan melibatkan aktiviti pemahaman dan penerbitan. Proses kecekapan pula melibatkan pengetahuan bahasa penguasaan tatabahasa secara tidak sedar. 3 bahagian pemerolehan bahasa yang diperolehi secara serentak ialah pemerolehan sintaksis, semantik dan fonologi. Berikut ialah peringkat pemerolehan bahasa pertama kanak-kanak.
Peringkat
Pemerolehan Bahasa
Bayi Berusia 3 Bulan
Hanya mampu mengangkat kepala
Mula membebel
6 Bulan
Boleh duduk dengan bantuan
Intonasi bebelan seperti bahasa
1 Tahun
Mula berjalan apabila tangan dipegang & dapat berdiri
Holo frasa muncul
1Tahun 3 Bulan
Berjalan huyung-hayang & merangkak ketika menaiki tangga
Mampu menyampaikan pemanjangan dan penyempitan kata
1Tahun 6 Bulan
Berlari dengan baik dan naik turun tangga dan merangkak ketika turun tangga dengan berundur
Mengucapkan 2 holo frasa yang berturutan dengan cepat
1 Tahun 9 Bulan
Berjalan cepat & cuba berlari
Mula mengucapkan ayat 2 kata
2 Tahun
Berlari dengan baik dan turun tangga dengan 1 kaki ke depan.
Mula mengucapkan ayat 3 kata
2 Tahun 6 Bulan
Mula menaiki basikal roda tiga dengan 2 kaki menolak
Mula mengucapkan ayat 4 kata dengan mempunyai system vokal lengkap
3 Tahun
Dapat menaiki basikal roda tiga & menaiki tangga berselang kaki
Tahu menggunakan Kata Ganti Nama dan Kata Nama.
3 Tahun 6 Bulan
Mula belajar melompat
Konsonannya dikuasai kecuali gugusan konsonan.
4 Tahun
Menuruni tangga berselang seli.
Sintaksis baik tetapi terhad.
5 Tahun
Menaiki dan menuruni tangga dengan berlari dan melompat dengan baik
Gugus konsonan tepat.

Huraian Peringkat-peringkat dalam pemerolehan bahasa


PERINGKAT VOKALIS (BEBELAN)
Berusia sejak lahir hingga 10 bulan.Pada peringkat ini, bayi melahirkan bunyi-bunyi bukan bahasasebagai latihan dan kawalan alat artikulasi dan bagi menyelaraskan pernafasannya. Bayi hanya dapat mengenal pasti bunyi-bunyi suku kata vokal,konsonan dan pola intonasi bahasa terutamanya pola ayat penyata,ayat tanya dan ayat seruan.Contoh bunyi bukan bahasa yang dibunyikan ialah :ee……eee……, uu……uu……, aa……aaa……, oo……oo…..


HOLOFRASA (PERTUTURAN SATU KATA)
Berusia dari 10 bulan sehingga 18 bulan.kanak-kanak mula menuturkan kata pertama tanpa sintaksis untuk menamakan objek, meminta sesuatu, menegaskan tindakan dan juga untuk melahirkan sesuatu yang rumit. Pertuturan ini bermula dengan kata yang bersuku kata mudah atau berulang.Kemudiannya beransur-ansur maju kepada suku kata tunggal berlainan pola atau berupaya mencantumkan beberapa suku kata.Contoh pertuturan satu suku kata ialah:ma-ma, ba-ba, ma-man, ne-nek, sa-kit


TELEGRAFIK (PERTUTURAN 2 & 3 SUKU KATA)
Berusia 18 bulan hingga 4 tahun.Kanak-kanak pada peringkat ini sudah berupaya menyebut dengan jelas dua atau tiga perkataan. Kombinasi kata inti yang pendek sama ada kata nama, kata kerja dan kata sifat, beransur maju kepada ayat pendek dua atau tiga kata. Bertujuan meminta, bertanya, menjawab, memberitahu dan sebagainya.Contoh pertuturan holofrasa ialah :nak makan, ibu mana, adik nak ikut.


PERKEMBANGAN AYAT-AYAT KOMPLEKS
Berusia 5 hingga 12 tahun.Pada peringkat ini, kanak-kanak mula menggunakan nafian,soalan, dan struktur ayat yang lebih kompleks dan berguna dalam bahasanya.
Pada umur 9 atau 10 tahun ke atas, kanak-kanak memperoleh semua struktur bahasa pertamanya pada tahap pra olahan (rendah-sederhana). Namun meningkat ke tahap olahan konkrit pada umur 11hingga 12 tahun.Selepas umur 12 tahun, kanak-kanak mencapai olahan formal atau memperoleh struktur bahasa orang dewasa. Contoh ayat kompleks yang digunakan ialah: saya dan adik bermain bola bersama kawan-kawan.




Sumber :http://www.scribd.com/doc/11959433/psikolinguistik

Thursday 29 November 2012

Teori Pemerolehan Bahasa

Teori  Pemerolehan Bahasa Pertama
Menurut Krashen dan Terrel(1983), pemerolehan bahasa ini berlaku mengikut perkembangan yang tertentu, biasanya diperoleh secara tidak formal daripada bahasa yang diucapkan oleh ahli-ahli masyarakat disekitarnya. Kanak-kanak  dapat bertutur secara tidak langsung apabila sering mendengar bahasa yang ditutur oleh ahli-ahli masyarakat yang berada di sekelilingnya. Mangantar SiManjuntak (1987) Pemerolehan bahasa ialah proses yang berlaku di dalam otak seorang kanak-kanak(bayi) sewaktu memperoleh bahasa ibunda(pertama) Terdapat beberapa teori yang membincangkan tentang pemerolehan bahasa. Antaranya ialah Teori Behavioris dan Teori Mentalis.
Teori Behavioris
Model dan teori  behavioris ini cuba menghuraikan pertalian antara psikologi dengan bahasa. Mereka yang terlibat dengan teori ini ialah B.F Skinner,Bloomfield, Sapir, Fries dan Brooks,  B. Watson, Thorndike dan Pavlov.  Teori Behaviour merujuk kepada aksi atau reaksi manusia dalam bentuk gerak balas hasil daripada rangsangan dalaman atau luaran. Teori ini mementingkan persekitaran murid untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam hal ini, perlakuan guru, kawan-kawan mereka sendiri serta suasana dalam bilik darjah amat penting dalam pemerolehan bahasa. Proses pembelajaran berlaku secara  berulang dan memberi penekanan kepada  latih tubi.  Penguasaan bahasa dikuasai melalui latihan.Teori ini menganggap bahasa adalah peraturan-peraturan yang mempunyai tatabahasa yang sistematik dan sentiasa mengalami perubahan. Menurut Skinner, pembelajaran bahasa berlaku apabila ibu bapa atau ahli keluarga mengajar kanak-kanak bercakap dan memberi galakan dengan memberi ganjaran setiap kali kanak-kanak dapat meniru atau menyebut perkataan yang diajar. Berasaskan teori pelaziman klasik, kanak-kanak mempelajari bahasa melalui hukuman dan ganjaran. Ganjaran yang diberi bertujuan mengukuhkan sesuatu perlakuan bahasa yang betul yang berjaya dilakukan oleh kanak-kanak. Pujian seperti ”pandai”, senyuman, ciuman, tepuk tangan, pelukan, dan lain-lain boleh merangsang kanak-kanak bercakap. B.F. Skinner juga mengatakan bahawa manusia secara semula jadi dilahirkan dengan keupayaan mempelajari bahasa. Keupayaan bertutur adalah satu bentuk perlakuan manusia yang dikenali sebagai perlakuan bahasa dan perlakuan ini  terbentuk berdasarkan prinsip Teori Behavioris.

Teori Mentalis
Teori mentalis dipelopori oleh Noam Chomsky yang memperkenalkan analisis bahasa Transformasi generatif . Teori ini mendokong istilah generatif, kreatif, eksplisit, kegramatisan dan transformasi .Teori mentalis berpendapat bahawa pemerolehan bahasa sebagai proses pemikiran yang melibatkan aktiviti mental. Menurut teori ini, bahasa ialah aktiviti mental yang merupakan kebolehan semulajadi manusia. N.Chomsky, berpendapat bahawa manusia dilahirkan bersama Peranti Pemerolehan Bahasa (Language Acquisation Device) atau LAD yang membolehkan manusia mempunyai kebolehan semulajadi untuk menguasai bahasa.Chomsky telah memberikan empat kenyataan iaitu;
·         Proses pemerolehan bahasa semua kanak-kanak boleh dikatakan sama.
·         proses pemerolehan bahasa ini tidak ada kaitannya dengan kecerdasan (anak yang IQ-nya rendah juga memperoleh bahasa pada masa dan cara yang hampir sama ).
·         Proses pemerolehan bahasa tidak pula dipengaruhi oleh motivasi atau emosi kanak-kanak.
·         Tatabahasa yang dihasilkan oleh semua kanak-kanak boleh dikatakan sama.
Golongan mentalis berpendapat bahawa seseorang kanak-kanak menggunakan keupayaan sedia ada pada mereka untuk merumus dan membentuk ayat mengikut sistem bahasa yang mereka peroleh. Manakala prestasi ialah aspek penggunaan bahasa oleh penutur berdasarkan kecekapan bahasa manusia.Oleh hal yang demikian, teori ini mengutamakan proses berfikir berbanding dengan perlakuan manusia.



Sumber:
http://catatannota.blogspot.com/2011/08/teori-pemerolehan-bahasa.html
 

Wednesday 28 November 2012

Perbezaan Pemerolehan bahasa pertama dengan pemerolehan bahasa kedua


  1. Perbezaan dari Segi Prinsip
1.    Penguasaan Kemahiran Bahasa
Dalam pemerolehan bahasa pertama, penguasaan sesuatu kemahiran bahasa berlaku secara beransur-ansur. Proses bermula dengan pengeluaran bunyi-bunyi, diikuti mencantumkan unit-unit bunyi menjadi perkataan dan mencantumkan perkataan-perkataan menjadi ungkapan atau ayat. Seterusnya, kanak-kanak akan memerhati dan menangkap sebarang kemahiran bahasa ibunda daripada penutur lain.  Langkah ini akan menjadikan mereka semakin mahir dengan sendirinya. Kefahaman boleh wujud lebih awal daripada pengucapan.
Manakala pembelajaran bahasa kedua adalah merupakan satu proses mekanis yang membentuk lakuan baru, iaitu lakuan kemahiran bahasa. Latihan-latihan peneguhan diberikan untuk membentuk tabiat bahasa yang dipelajari.

2.    Penguasaan Aspek Bahasa
Dalam pemerolehan bahasa pertama setiap kemahiran bahasa dikuasai dengan cara yang perlahan. Cara ini membolehkan beberapa aspek bahasa dapat dikuasai secara sekali gus. Sebagaimana diketahui, bahasa mempunyai banyak rumus dan peraturan. semuanya itu dikuasai secara serentak. Kanak-kanak umpamanya dapat menguasai bunyi, perkataan, pengimbuhan, makna, dan penggunaannya dalam ayat secara sekali gus.
Hal ini berbeza dengan pengajaran bahasa kedua yang mesti didahulukan dengan kemahiran lisan. Aktiviti pengajaran bermula daripada kemahiran mendengar, kemudian bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Kanak-kanak diajar menyebut sesuatu kata itu dahulu sebelum mengajar bentuk-bentuk tulisan. Cara ini akan menghasilkan satu pengajaran bahasa kedua yang berkesan.



  1. Mempelajari Penggunaan Bahasa
Dalam pemerolehan bahasa pertama, prinsip ini menerangkan bahawa kanak-kanak tidak mengkaji tatabahasa untuk menguasai bahasa tersebut. Mereka belajar menggunakannya. Mereka tidak perlu menjelaskan sebab binaan ayat itu adalah betul atau salah, tetapi mereka diberi tahu betul dan salah ayat itu. Dalam aspek tatabahasa misalnya, kanak-kanak tidak diminta mengkaji rumus-rumusnya tetapi cukup sekadar menggunakannya dalam ayat-ayat yang betul.
Sebaliknya, dalam pembelajaran bahasa kedua, pelajar belajar secara membuat analogi. Pembelajaran cara ini membolehkan pelajar menerima pelajaran dengan cara melihat persamaan dan perkaitan antara bentuk-bentuk yang diajar. Mereka diberi latih tubi dalam pola-pola yang diajar. Analogi digunakan untuk menghasilkan penguasaan struktur bahasa tanpa menghabiskan masa dan tenaga untuk menjelaskan konsep-konsep tatabahasa. Mereka diberitahu sebab binaan bahasa yang digunakan itu adalah salah atau betul.
  
  1. Penggunaan Bahasa
Dalam pemerolehan bahasa pertama juga, kanak-kanak belajar menggunakan bahasa melalui pemerhatian atau pendengaran. Setelah itu, mereka menggunakan unsur yang sama dalam keadaan yang serupa bagi memberikan maknanya. Walaupun tidak memahami sistem tatabahasa, tetapi mereka amat mengetahui hubungan antara perkataan dalam ayat dan hubungan antara satu ayat dengan ayat lain. Mereka menggunakan sesuatu perkataan dalam konteks makna, bukannya dalam konteks tatabahasa. Semasa mengajar, guru perlulah mencari konteks makna bagi menjelaskan makna perkataan itu. Pelajar diberi latihan dan latih tubi pemakaian makna dan perkataan yang betul.
       Namun begitu, dalam pembelajaran bahasa kedua, makna haruslah dipelajari dalam konteks yang dapat menerangkan makna itu sendiri. Makna perkataan perlulah diajar dalam konteks agama, adat dan adab, dan budaya. Ini adalah cara yang difikirkan berkesan dalam memberikan makna


  1. Kebiasaan Mempelajari Bahasa
Dalam pemerolehan bahasa pertama, kanak-kanak mempelajari pertuturan menurut kebiasaan tertentu. Kebiasaan ini mungkin kebiasaan seseorang individu atau kelompok penutur. Mereka mempunyai kumpulan sendiri dan mempunyai tabiat  bertutur yang tersendiri. Kanak-kanak tidak perlu dihalang mengembangkan kebolehan mereka berbahasa secara tersendiri.
Hal ini berbeza dengan pembelajaran bahasa kedua. Pembelajaran berlaku secara formal dan mempunyai guru. Peluang pembelajaran hanya dapat diikuti di tertentu sahaja.
Perbezaan pemerolehan bahasa pertama daripada bahasa kedua juga boleh dilihat dari sudut strategi.

B) Strategi
                       
1.       Penguasaan
Cara memperolehi bahasa pertama tidak sama dengan cara menguasai bahasa kedua. Pemerolehan bahasa pertama melalui proses tidak formal. Sebaliknya, pembelajaran bahasa kedua memerlukan usaha gigih dan perancangan teliti. Manusia tidak perlu berguru dalam institusi formal untuk membolehkan mereka bertutur dengan baik dalam bahasa ibunda. Sebaliknya, seseorang perlu berguru secara formal untuk mempelajari bahasa kedua, walaupun tidak menjamin orang berkenaan bertutur dengan fasih dan lancar dalam bahasa tersebut.
            Proses-proses yang menghasilkan kemahiran berbahasa dalam bahasa pertama dan bahasa kedua adalah berbeza. Hal ini dapat dilihat dari istilah yang digunakan. Bagi bahasa pertama, istilah ‘penguasaan’ atau ‘pemerolehan’ digunakan, manakala bagi bahasa kedua, istilah ‘pemelajaran’ digunakan. Dalam hal ini, Kamarudin (1988) menyatakan :

“Berbeza dengan pemelajaran bahasa pertama, penguasaan bahasa kedua bukanlah didapati melalui pemerolehan tetapi dikuasai melalui pemelajaran. Ini dilakukan dalam keadaan yang lebih formal, memerlukan banyak latihan dan pengulangan hingga menjadi sesuatu tabiat.”
2.            Fungsi

Dari segi fungsi, tujuan seseorang itu menguasai pengetahuan bahasa pertama dan mempelajari bahasa kedua ternyata berbeza. Berlainan dengan proses pemerolehan bahasa pertama, pembelajaran bahasa kedua merupakan usaha yang ditentukan oleh manfaat yang bakal diperoleh.
Tujuan mempelajari bahasa kedua biasanya dikaitkan dengan peranan bahasa dalam kehidupan seseorang pengguna. Oleh itu, pengajaran bahasa kedua sering mengarah kepada sesuatu tujuan yang tertentu.

3.            Kebebasan Memilih
Dalam konteks ini, proses pemerolehan bahasa pertama merupakan satu proses yang tidak ada pilihan. Manakala proses penguasaan bahasa kedua pula adalah proses yang ada pilihan. Proses penguasaan bahasa kedua didorong oleh sebab-sebab tertentu. Biasanya kanak-kanak bahasa pertama mendapat dorongan dan motivasi yang kuat untuk mempelajari bahasa itu bersungguh-sungguh. Ini kerana mereka mempunyai keperluan untuk menggunakan bahasa itu. Keadaan ini berbeza dengan pembelajaran bahasa kedua kerana keinginan untuk mempelajari bahasa ini tidak kuat walaupun mereka sedar bahasa kedua itu berguna.
Dalam hal ini, corak perasaan dan bentuk pemikiran akan menentukan sama ada seseorang itu akan berusaha gigih atau tidak mempelajari bahasa kedua. Bagi bahasa pertama pula, penguasaan pengetahuannya berlaku secara semulajadi, dan tidak ada kanak-kanak normal yang terkecuali daripada menguasai pengetahuan bahasa pertama.

4.            Kejayaan Penguasaan
Penguasaan pengetahuan bahasa oleh penutur bahasa pertama dan bahasa kedua adalah berbeza. Dalam bahasa pertama, kanak-kanak, secara genetik, telah diprogramkan untuk berjaya dalam proses penguasaan bahasa pertama. Proses tersebut merupakan proses menyesuaikan pengetahuan bahasa semula jadi yang sedia ada dengan sistem bahasa pertama mereka.
Sementara pembelajaran bahasa kedua pula, faktor genetik tidak memainkan peranan penting. Faktor-faktor luaran yang menentukan kejayaan proses  pembelajaran bahasa kedua berkenaan. Berkenaan hal ini, Abdullah Hassan (1987) menegaskan :

“…pemerolehan bahasa ibu tidak berlaku di kalangan kanak-kanak secara tidak formal, yakni tidak perlu diajar. Bahasa kedua pula terpaksa dipelajari dan hanya berkembang melalui latihan dan pengukuhan. Bukan itu sahaja yang berlaku, kita mesti mempunyai dorongan dan sikap yang sihat untuk dapat belajar dengan berkesan.”
5.    Masa
Dari segi masa, kanak-kanak mempelajari bahasa kedua sering mengalami kesulitan. Mereka tidak mempunyai masa yang cukup dan tidak pula dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap bahasa yang dipelajari itu. Bahasa yang dipelajari tidak dapat dipraktikkan sepenuhnya, sebagaimana mereka menggunakan bahasa ibunda sehari-hari. Mereka hanya dapat mempelajari dan menggunakan bahasa kedua di dalam kelas-kelas sahaja.


RUJUKAN
http://retibasa.blogspot.com/2010/08/cara-pemerolehan-bahasa-kedua_11.html
 http://www.geocities.com/pendidikmy/cikgupjj/bahasapertamabahasakedua.html
http://massofa.wordpress.com/2008/01/28/pemerolehan-bahasa-pertama-dan-bahasa-kedua/


Monday 26 November 2012

Pemerolehan Bahasa Pertama


Pemerolehan Bahasa Pertama
Pemerolehan bahasa pertama, lazimnya digunakan untuk merujuk bahasa ibunda yang mula-mula dipelajari dan diperoleh oleh kanak-kanak sejak mereka di lahir.  Ini terjadi apabila kanak-kanak yang pada asalnya tidak mempunyai bahasa, tetapi kini telah memperoleh satu bahasa. Bahasa pertama individu kerap digunakan  sebagai asas identiti sosiolinguistik. Proses pemerolehan dan penguasaan bahasa kanak-kanak  dikatakan satu perkara yang rencam dan cukup menakjubkan serta sukar  untuk dibuktikan. Keunikan yang ada pada seseorang manusia dapat dilihat dalam proses pemerolehan bahasa pertama apabila kanak-kanak boleh memperoleh ujaran demi ujaran sehingga lahirnya sintaksis yang bermakna, sama ada untuk dirinya sendiri ataupun orang lain yang dilawan berinteraksi. Pada masa yang sama pemerolehan bahasa pertama kanak-kanak lebih tertumpu kepada fungsi komunikasi berbanding bentuk bahasa yang digunakan. Dalam hal ini mereka tidak melalui proses pembelajaran secara formal. Bahasa pertama ini dipelajari  di rumah sejak bayi lagi dan terus difahami dan digunakan sehingga dewasa. Sistem-sistem linguistik dikuasai dengan pantas oleh kanak-kanak meskipun mereka tidak melalui pengajaran formal. “…learning a first language is something every child does successfully, in a matter of a few years and without the need for formal  lessons.”(language Acquistion: On-line). Mengikut Piaget, semua kanak-kanak sejak lahir telah dilengkapi dengan alat nurani yang berbentuk mekanikal umum untuk semua kebolehan manusia termasuk kebolehan berbahasa. Bagi Chomsky dan Miller pula, alat yang khusus ini dikenali sebagai Language Acquisition Device(LAD). LAD dikatakan dimiliki oleh setiap anak secara semulajadi untuk membolehkan mereka mampu memperoleh bahasa ibunda dengan mudah dan cepat.
Sumber :
Jurnal Penyelidikan IPBL, Jild 7, 2006

Pengenalan Pemerolehan Bahasa

Apakah Pemerolehan Bahasa?
Pemerolehan bahasa adalah suatu proses yang membolehkan seseorang manusia menguasai dan membina bahasa. Pemerolehan bahasa ini memungkinkan seseorang itu untuk berkomunikasi atau berinterasi dengan masyarakat di sekelilingnya dan seterusnya membina hubungan yang baik dengan mereka.
Bagi seorang kanak-kanak perkembangan dan penguasaan bahasa ini amat penting untuk membolehkan mereka menyusun, mengutarakan idea, menceritakan pengalaman dan menyatakan perasaan mereka. Sebenarnya penguasaan bahasa boleh berlaku tanpa disedari atau dipelajari secara langsung. Seseorang itu boleh memperoleh bahasa apabila mendengar bahasa yang diucapkan oleh ahli-ahli masyarakat di persekitarannya.
Proses pemerolehan berlaku secara aktif ketika seseorang itu beusia di antara 2 hingga 6 tahun. Menurut Eric Lenneberg (1964),masa genting pemerolehan bahasa berakhir sekitar umur 12 tahun. Beliau berpendapat  jika bahasa tidak dipelajari sebelum masa itu bermakna kanak-kanak tidak belajar bahasa secara normal dan tidak berfungsi sepenuhnya. Situasi ini disebut ‘hipotesis masa kritikal’.

Sumber :
 Siti Hajar Abdul Aziz(2009), Bahasa Melayu II Psikolinguistik, Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Sekapur Sireh

  Secara Ringkas Latar Belakang Blog
Assalammualaikum dan salam sejahtera   kepada semua pembaca. Blog ini di hasilkan untuk melengkapkan tugasan menghasilkan blog bagi subjek Bahasa dan Minda. Saya telah diminta membincangkan tajuk  Pemerolehan Bahasa Pertama. Ini merupakan blog yang pertama yang saya hasilkan. Mungkin terdapat banyak kelemahan yang perlu dibaiki.Namun begitu sebarang komen yang membina saya alu-alukan. Terimakasih diucapkan kepada Pn Nor hafidah binti Ibrahim sebagai pensyarah bagi subjek Bahasa dan Minda yang banyak memberi bimbingan untuk saya menghasilkan blog ini. Tidak dilupakan ucapan terimakasih buat keluarga tercinta yang banyak membantu. Pengorbanan kalian amat saya hargai.